Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
mengandaikan makanan segera yang semakin
popular di kalangan rakyat negara ini umpama bom jangka yang boleh meledak
menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda. Malah, Dr Chua
menyifatkan makanan segera lebih berbahaya daripada rokok dan minuman keras
kerana ada kes pengambilan makanan bermula sejak bayi lagi.
“Pengambilan makanan segera sejak
usia bayi lagi menyebabkan sistem badan kita lemah dari awal lagi kerana kita
sudah terdedah kepada kandungan gula, garam dan lemak yang melebihi paras
minimum yang diperlukan badan kita.”
“Tidak keterlaluan jika kita letakkan
tahap bahaya makanan segera sama taraf atau lebih tinggi lagi berbanding rokok
atau minuman keras,”
Dr Chua berkata, pengambilan
makanan segera sejak usia bayi dikenal pasti penyumbang utama peningkatan
mendadak penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis
dan buah pinggang.
“Dua puluh tahun lalu, hanya enam
peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu (kencing manis), tetapi kini
sudah meningkat kepada sembilan peratus dan jika amalan mengambil makanan
segera berterusan, tidak mustahil jumlah pesakit akan meningkat 12 hingga 13
peratus pada 2020 nanti,” katanya.
Kenali apa itu makanan ringan?
Makanan ringan boleh dikategorikan
sebagai makanan kurang khasiat yang memudaratkan kerana ia mengandungi
karbohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam dengan kadar yang tinggi, di
samping rendah ataupun tiada langsung bahan serat, protein, vitamin dan zat-zat
logam di dalamnya (Ask The Dietitian-‘Junk Food,’ Joanne Larsen (MS RD LD),
1996, di dietition.com).
Malahan ia sebenarnya mendatangkan
kesan negatif untuk jangka masa panjang. Ini dibuktikan dengan penggunaan
mononatrium glutamate, gula, garam, bahan pewarna dan pengawet yang tinggi,
yang bertujuan mengekalkan kesedapan dan kesegaran. Namun, segala bahan ini
dikenalpasti sebagai agen utama kepada masalah kesihatan, seperti kanser,
kerosakan gigi, obesiti (kegemukan) dan jantung berlubang. Misalnya, satu
kajian yang pernah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas kanak-kanak
sekolah menunjukkan 89% daripada mereka mengalami kerosakan gigi, 60% diserang
penyakit gusi dan 20% lagi berada di tahap serius dan memerlukan rawatan doktor
gigi
Allah berfirman: "Wahai
orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami
berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya
kepada-Nya kamu menyembah"(Surah Al-Baqarah ayat 172)
Nabi Muhammad bersabda:
"Jauhilah sesuatu yang memudaratkan..."; (Riwayat Malik, Al-Hakim,
Baihaqi dan Ibnu Majah)
Pelbagai Makanan Ringan
Kek dan kuih-muih mengandungi
kadar gula yang tinggi dan kadar vitamin serta zat-zat logam yang amat rendah.
Minuman jenis cola juga
mengandungi lebihan gula dan kadangkala ia dicampurkan dengan sejenis dadah
yang boleh membawa kepada ketagihan, iaitu kafeina. Ais krim pula mengandungi
banyak gula dan lemak.
Minuman jus buah-buahan yang
dijual di dalam botol kebanyakannya tidak mengandungi jus buah-buahan asli,
sebaliknya mengandungi banyak gula, air, bahan pewarna dan perisa tiruan.
Kentang goreng atau potato chips pula mengandungi kadar lemak dan garam yang
tinggi yang memudaratkan (The Smart Food, Junk Food, The Learning Network Inc,
2001, factmonster.com/ipka/A0768674.html)
Makanan Ringan Dan Darah Tinggi
Makanan ringan amat berbahaya
kepada kesihatan apatah lagi apabila ia diambil selalu. Pengkaji-pengkaji dari
Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakersfield California, dan Prevention
Concepts, Inc. di Los Angeles, pernah menjalankan satu kajian yang melibatkan
200 pelajar sekolah dan mendapati lapan daripada sepuluh pelajar-pelajar itu
mengambil lebihan lemak tepu melalui makanan ringan. Ujian makmal menunjukkan,
satu pertiga daripada mereka mengandungi kadar kolesterol di dalam darah yang
tinggi dan 10% daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi.
Kajian ini jelas menunjukkan
lebihan lemak tepu yang terdapat di dalam makanan ringan akhirnya menyempitkan
pembuluh darah dan menjadi penyebab kepada penyakit darah tinggi terutamanya
apabila umur seseorang sudah meningkat (CBC4Kids Daily News Story, The Dangers
of a Junk Food Diet, March 16 2000,
cbc4kids.ca/general/whatsnew/daily-top-stories).
Makanan Ringan Dan Asma
Di dalam kajian yang lain,
ahli-ahli sains dari Scotland dan Saudi Arabia mendapati makanan ringan
merupakan penyebab utama berlakunya peningkatan penyakit alahan dan asma di
kalangan kanak-kanak. Kajian ini yang melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai
gejala penyakit asma dan 200 kanak-kanak lain yang tidak menghidapnya
mendapati, mereka yang kurang mengambil sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam
dan susu lebih mudah diserang penyakit ini. Kes-kes asma didapati meningkat
sebanyak 50% di dalam jangka masa 10 tahun (Junk Food Linked to Child Asthma,
Richard T. Herrick (MD), Titan Support Systems Inc, USA, 1998,
titansupport.com/people/medical/childasthma).
Makanan Ringan Dan Sakit Jantung
Makanan ringan berbahaya kepada
jantung. CNN.com.health bertarikh 14 Mac 2000 melaporkan, makanan} ringan
meningkatkan risiko remaja menghidap sakit jantung. Ia berpunca daripada
lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat di dalam makanan ringan pada
hari ini. Penemuan ini dibentangkan di dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika
di Anaheim, California (CNN.com.health, Study: Junk Food Raises Teens' Risk Of
Heart Disease, Elizabeth Cohen, March 14, 2000,
.cnn.com/2000/HEALTH/03/14/teen.arteries/
Makanan Ringan Dan Kesan Pada Otak
Makanan ringan juga boleh merosakkan
fungsi otak. Satu kajian telah di lakukan di Baycrest Centre for Geriatric Care
di Universiti Toronto, Kanada, berhubung dengan perkara ini. Mereka mendapati
makanan ringan yang memang mengandungi lebihan lemak, merosakkan daya
konsentrasi dan ingatan otak. Hal ini disebabkan, otak memerlukan glukosa untuk
berfungsi dengan baik sedangkan lebihan lemak mengganggu peranan glukosa itu.
Profesor Carol Greenwood, seorang
pakar sains dari Kunin-Lunenfeld Applied Research Unit di Universiti Toronto
merumuskan, makanan ringan yang mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi
dan karbohidrat yang rendah pastinya bukan makanan yang sesuai untuk otak
manusia (Junk Food Impairs Brain: Study, Steven de Sousa, Feb. 26 2001,
University of Toronto, newsandevents.utoronto).
Makanan Ringan Dan Buta
Mereka yang banyak mengambil
makanan ringan yang tinggi kadar lemaknya, menghadapi risiko yang tinggi
menjadi buta apabila berumur dalam lingkungan 55 tahun. Penyakit ini yang
dikenali sebagai macular degeneration sering menyerang perokok-perokok namun
sekarang ia juga menyerang peminat-peminat makanan ringan.
Penemuan ini yang dimuatkan di
dalam Archives of Ophthalmology, dilaporkan oleh pakar-pakar sains dari
Massachusetts Eye And Ear Infirmary di Amerika, selepas melakukan kajian ke
atas 349 orang pesakit yang berumur di antara 55 hingga 80 tahun. Semua ini mengesahkan
tentang bahaya makanan ringan yang popular di kalangan masyarakat moden pada
hari, justeru pengambilannya perlu dikawal sebelum kemudaratan yang lebih teruk
menimpa ke atas diri kita (ABCNEWS.com, Blinded by Junk Food? Study: Snacks May
Be Bad For Vision, Aug. 15 2001,
abcnews.go.com/sections/GMA/GoodMorningAmerica).
Tambahan daripada itu, kajian oleh
para saintis dari Universiti Oxford, England, mendapati pengambilan makanan
ringan juga meningkatkan peratus keganasan dalam masyarakat. Peningkatan ini
begitu ketara dalam masa 50 tahun ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh
kekurangan khasiat-khasiat tertentu, terutamanya omega-3, jika seseorang banyak
mengambil makanan ringan. Omega-3 membantu di sudut pengawalan emosi seseorang.
Untuk renungan
Kesimpulannya;
Setiap hari iklan TV memaparkan
iklan makanan & minuman segera yang berjaya menarik hati kanak-kanak.
Sehingggakan kanak-kanak lebih mengenal KFC, McDonald, Pizza, BurgerKing ,
Coca-Cola, FN. Makanan & minuman ini mengandungi perasa, pengawet dan
pewarna yang bila diambil setiap hari, setiap bulan setiap tahun akan akibatkan
penyakit orang kaya seperti darah tinggi, diabetes, kanser, sakit jantung
sehingga keluarlah istilah “mati segera” kepada peminat makanan & minuman
segera.
Makanan ringan seumpama racun yang
begitu mudah diperolehi dengan harga yang murah. Ianya begitu terdedah kepada
kanak-kanak sekarang. Apatah lagi pengaruh daripada iklan di kaca TV yang
sentiasa menggamit kanak-kanak untuk mengambilnya. Tanpa bimbingan daripada
ibubapa, pemberian makanan ringan kepada anak-anak di rumah seumpama kita
memberikan racun kepada mereka tanpa kita sedari.
Kita hanya menyedari bahawa itu
adalah racun apabila anak-anak kita jatuh sakit dan menderitai penyakitnya
untuk jangkamasa yang lama. Sewaktu itu barulah kita menyesali kealpaan kita
selama ini.
Marilah kita jauhi anak-anak kita
daripada mengenali makanan ringan yang begitu banyak terjual di pasaran.
Jauhilah anak-anak kita dari racun berpenyakit ini demi masa depan mereka.
No comments:
Post a Comment